Saudara-saudara ku...
Suatu ketika dahulu ayahanda kita, atau nenda anakanda-anakanda pernah meluahkan isi hatinya dalam serangkap pantun yang berbunyi seperti berikut :
Puas sudah kutanam padi,
Nenas juga didagang orang,
Puas sudah kutabur budi,
Emas juga dipandang orang.
Jikalau kita menghayati isi pantun tersebut kita akan dapat menyelami jauh di sudut hatinya penuh rasa terbuku dan terharu kerana mengenangkan sikap-sikap sesetengah insan ketika itu yang hanya mementingkan diri mereka sahaja. Mereka hanya memandang kepada mereka yang kaya sahaja dan meminggirkan pula mereka yang miskin. Bagi mereka, seolah-olah kewujudan orang miskin seperti beliau tidak diperlukan.
Saudara-saudaraku...
Bayangkanlah anda sedang berdiri di sebuah gurun yang luas, kosong, sepi dan tiada berpenghuni. Siang dipanah terik sinar mentari, malam bertemankan bintang-bintang berkedipan dilangit luas. Tatkala ini anda akan merasakan diri terlalu sepi, kerdil dan tidak berdaya.
Biarpun didalam kocek anda penuh dengan emas permata, biarpun didalam karung padat berbekalkan makanan enak dan menyelerakan, kesepian mendera jiwa anda.
Saudara-saudaraku...
Katakanlah tiba-tiba lalu seorang gila yang berpakaian compang-camping, yang pernah anda hina dan kutuk. Tangis tawanya tidak mengandungi makna malah ia tidak mengenal erti susah atau pun senang dan tidak mampu membezakan apa itu kemeriahan dan apa itu kesepian.
Dia melewati anda tanpa sapaan mesra, mahu pergi jauh mengikut jejak langkahnya yang sumbang , lalu anda merayu kepadanya, “TEMANKANLAH AKU SAHABATKU”, sahabat? Suatu ketika dahulu anda merasakan amat aib untuk mengakui manusia seperti itu sahabat. Ada kala dia dianggap bukan manusia, sampah, haiwan, tiba-tiba tarafnya dijulang tinggi sebagai sahabat.
Saudara-saudaraku...
Memang sudah menjadi lumrah hidup manusia sering kali meminggirkan golongan kerdil dan lemah. Kita merasakan kitalah yang hebat , kita yang kaya, sedangkan sebenarnya kita juga kerdil seperti insan yang kita anggap kerdil itu. Adakalanya kita memerlukan kehadiran mereka, sedangkan mereka tidak memerlukan kita.
Pendek kata setiap ciptaan Tuhan tetap penting. Sama ada miskin atau kaya, berdarjat atau keparat. Memang benar kita menjadi senang kerana asal usul kita orang senang, atau kita rajin berusaha dan bernasib baik lalu menjadi senang. Namun janganlah kita bermegah dan memandang hina kepada golongan lemah, entah bila pula kita akan menjadi lemah.
Saudara-saudaraku..
Apa yang kita ada akan habis, apa yang kita miliki akan berakhir. Kita juga telah dijanjikan akan pergi, yang baru pula akan mengganti. Aturan alam telah mengatakan begitu, pertemuan kita adalah usia, setiap kali bertemu dan bersua kita akan bertambah dewasa, usia pula kian meningkat gelaran tua semakin menghampiri. Harapan tualah yang mendewasakan kita, apabila kita menghayati erti tua dan dewasa ianya akan memberi seribu keinsafan dan pengertian buat kita. Bahawasanya keindahan dan kasih sayang dalam ikatan persaudaraan amatlah besar ertinya dan ianya tidak sukar dan mustahil untuk dimiliki jikalau kita semua sama-sama mengerti.
Akhir kalam berkat dariNya juga ianya akan membuahkan seribu penghasilan , seribu impian dan seribu pengharapan persaudaraan yang kukuh dan erat akan terus wujud serta terjalin dengan sempurna buat anak-anak, cucu-cucu serta generasi kita pada masa akan datang.
Oleh Mamak Khiarudin bin Ismail
Segambut, Februari 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan