Khamis, 1 Disember 2011

~Apa Itu Cinta?~

Setelah beberapa purnama menyepi akhirnya terfikir juga aku untuk meluahkan sesuatu disini. Daripada buang masa dengan perkara yang tidak berfaedah baik aku gunakan untuk kongsikan sesuatu dengan rakan-rakan. Yelah.. Masa yang ada kadang dihabiskan dengan game, novel, buku-buku politik atau agama, layan adik-adik dan bermacam lagilah jadi apa salahnya melakar sesuatu dalam bentuk penulisan meskipun ideanya kurang. Kan? :)




Baiklah.. Sepertimana tajuk diatas maka aku cuba untuk tidak memesongkan ayat yang ada dari membincangkan tentangnya. Apa itu Cinta? Semestinya kita tahu menyebut perkataan cinta. Selalu meluahkannya sama ada kepada ibu bapa, adik beradik, kawan-kawan atau ....... ?? (anda boleh isi sendiri ruangan kosong tersebut. Cinta terlalu kompleks untuk diterangkan. Ianya tidak terhad diantara hubungan sesama insan. Bahkan ianya turut melibatkan hubungan antara insan dan makhluk yang lain dan juga antara insan dengan penciptanya. Malah untuk menterjemahkannya pun tidaklah mudah kerana ianya berdasarkan pemahaman individu yang merasai jiwanya mempunyai cinta mahupun tidak.


Definisi cinta. Menurut kamus dewan edisi keempat ialah "Cinta bermaksud kasih sayang antara suami isteri, seorang lelaki dan seorang perempuan. Iaitu perasaan saling mengasihi." Namun aku yakin, setiap daripada kita mempunyai definisi yang berbeza mengenai cinta. Jika ditanya kepada aku apa itu cinta. Jawapku ia merupakan suatu perasaan yang tidak dapat diterjemahkan oleh tutur kata atau gerak tubuh seseorang. Jadi apa itu cinta bagiku? Hanya yang merasa tahu apa yang dimaksudkan tentangnya. :)






Cinta memerlukan pengorbanan. Dari segi jiwa, harta, ilmu dan segalanya. Ramai yang telah terkorban kerana cinta. Jika terkorbannya seseorang kerana cintakan agama, tanah air dan bangsa maka ianya bukti kecintaan yang utuh dan perlu ada didalam diri setiap insan apatah lagi yang bergelar muslim. Apakah lagi berguna lidah kita berbicara tentang cinta jika maruah agama dan tanah air dirobek?. Jadi untuk membuktikan maka perlunya pengorbanan dalam mempertahankan cinta tersebut. Pengorbanan tidak semestinya dengan senjata. Dengan melakukan perubahan dalam diri dari jahat kepada baik, baik kepada yang lebih baik maka itu juga adalah pengorbanan.



Namun apakah berbaloi pengorbanan yang dilakukan terhadap cinta sesama insan? Selalunya insan yang merasa betapa dirinya terlalu menyintai kekasihnya maka dia sanggup untuk melakukan apa sahaja asalkan dapat dibuktikan pengorbanan dalam meraih cinta sang kekasih. Ianya adalah pengorbanan terkeji jika dilakukan. Jika inilah apa yang dianggap cinta maka rosaklah cinta yang dikatakan suci. Apakah bilamana diri sudah diratah maka itu sahaja bukti percintaan sudah lengkap? 9bulan selepas itu dibuangnya anak ke tong sampah untuk dimakan semut api atau dicampak sahaja dari tingkat 4 flat kediaman?






Aku tidak pandai menilai cinta kerana aku cinta itu datang dari Allah. Dia memberi manusia perasaan cinta untuk mencintaiNya. Dan sedikit ihsan dariNya untuk menyayangi makhluk yang diciptakanNya. Cinta hanyalah untuk setia kepadaNya tanpa menduakanNya. Ungkapan cinta sejati sesama insan hanyalah ibarat kisah dongeng bagiku kerana tiada yang abadi didunia ini. Kisah cinta makhluk yang penuh kepincangan disana-sini. Jadi hanya Dia yang layak untuk peroleh cinta abadi. Setakat ini dahulu nukilanku. Semoga ada manfaatnya untuk sahabat-sahabat. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...